Ekspresi Bahasa Kasih Sayang Buat Sahabat Anda | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Ekspresi Bahasa Kasih Sayang buat Sahabat Anda

Ekspresi Bahasa Kasih Sayang buat Sahabat Anda

Oleh : Anis Akmilah Binti Mat Hassan K.B.;P.A.

Sahabat merupakan insan yang paling penting selepas ahli keluarga. Jalinan hubungan persahabatan yang terbina menjadikan seseorang itu lebih akrab daripada saudara sendiri. Itulah mahalnya harga sebuah persahabatan. Bagaimana seseorang ingin meluahkan kasih sayangnya kepada sahabat? Ya, setiap daripada kita mempunyai cara dan gaya yang berbeza bagi mengekspresi kasih sayang. Jom kita lihat apakah ‘Bahasa Kasih Sayang’ yang mungkin sesuai untuk sahabat anda supaya beliau dapat memahami yang anda menyayanginya.


1. Perkataan
Ada sahabat yang mudah tersentuh apabila mendapat nota-nota kecil yang diselipkan buat dirinya. Mungkinkah sahabat anda sukakan nota-nota kecil yang mengandungi kata-kata positif buat dirinya? Andainya ya, boleh cuba selipkan 1 nota penghargaan anda kepadanya nanti!


2. Masa
Ada sesetengah sahabat suka menghabiskan masa dengan berbual, berkongsi pelbagai cerita. Bahasa kasih sayang dia adalah masa. Oleh itu, luangkan lah sedikit masa untuk sahabat anda berbual kerana ini adalah salah satu cara menunjukkan bahawa anda sayangkannya!


3. Hadiah
Menjadi kebiasaan apabila hadiah dijadikan simbol kasih sayang. Tentunya sahabat yang mempunyai bahasa kasih sayang ini amat menghargai setiap hadiah yang diterima dan akan membalasnya semula kepada anda.


4. Tindakan
Bahasa kasih sayang tindakan ini dapat dilihat apabila seorang sahabat yang sangat ringan tulang untuk membantu. Seronok bukan apabila dapat sahabat yang ringan tulang? Tetapi hati-hati janganlah sampai menyusahkan sahabat tersebut pula!


5. Sentuhan
Sahabat yang mempunyai bahasa kasih sayang sentuhan ini biasanya dalam kalangan sama jantina. Berhati-hati ya apabila berlainan jantina menjadikan bahasa sentuhan ini mungkin ada niat sebaliknya. Bahasa sentuhan ini biasanya ditunjukkan apabila seseorang memberikan sokongan dengan memeluknya atau menyentuh tangan sahabat yang lain.


Setiap dari kita mempunyai cara gaya menyampaikan rasa kasih sayang. Mungkin sesuai bagi diri kita tetapi tidak sesuai untuk sahabat kita. Oleh itu, cara pantas untuk mengetahui pendekatan yang sesuai buat sahabat adalah dengan bertanya kepadanya, mudah bukan? Semoga dengan menyampaikan kasih sayang kepada sahabat ini dapat mengukuhkan ukhuwah yang telah terbina sampai bila-bila.

 

Tarikh Input: 30/04/2024 | Kemaskini: 30/04/2024 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXFROAg~