Tip Ubah Diri : BUAT Dan KUAT | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Tip Ubah Diri : BUAT dan KUAT

Tip Ubah Diri : BUAT dan KUAT

Oleh : Muhammad Za’im Rosli K.B.;P.A.

Alang-alang berdakwat biar hitam
Alang-alang menyelok pekasam biar sampai ke pangkal lengan

Begitulah peribahasa orang melayu yang menggambarkan kesungguhan dalam melakukan sesuatu perkara. Walau apa pun cabaran yang dilalui, individu tetap buat dengan kuat! Daya tahan individu dalam melakukan sesuatu menjadi menentu kejayaannya di masa hadapan.

Tip BU-KU pada kali ini akan membawa pembaca meneroka langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk meningkatkan daya tahan individu.

Buat
1. Buat sampai jadi

Biasakan diri untuk melakukan tugasan sehingga selesai. Walaupun akan terdapat pelbagai cabaran yang terpaksa dilalui, namun sikap tidak mudah berputus asa akan membentuk kualiti dan daya tahan individu.

2. Buat biar Happy

Salah satu teknik meningkatkan daya tahan diri adalah dengan menjadikan kerja atau tugasan sebagai terapi buat diri sendiri. Individu yang mempunyai daya kreatif dan inovatif akan menjadikan tugasan sebagai karya kreatif yang dihasilkan. Meneroka kaedah kreatif dalam melaksanakan tugas akan menjadikan suatu tugas lebih mudah untuk dilaksanakan sekaligus membahagiakan.

Kuat
1. Kuat Berusaha

Gagal adalah maklum balas dari usaha lama yang memerlukan kaedah penambahbaikan baharu. Kadang kala kaedah yang lebih efektif tidak dapat ditemui hanya di dalam bilik tidur. Sebaliknya ia memerlukan usaha yang berterusan, pendedahan yang lebih luas, dan bimbingan yang tepat.

2. Kuat Semangat

Terus bangun! Terus bangkit! gagal sekali tidak bermakna gagal selamanya. Gagal hari ini tidak bermaksud gagal seterusnya. Gagal adalah maklum balas dari usaha lama yang memerlukan kaedah penambahbaikan. Teruskan melangkah!

Semoga tip ini menerima manfaat buat semua yang membaca! Untuk maklumat lanjut, boleh menghubungi kami melalui direktori laman web di www.bkupm.edu.my atau untuk mendapatkan maklumat dan program atau aktiviti dijalankan oleh Bahagian Kaunseling UPM, boleh ikuti kami di media sosial kami di Facebook dan Instagram.

 

Tarikh Input: 30/04/2024 | Kemaskini: 30/04/2024 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXFRMA2~